Monday 4 February 2013

Duri-Duri Cinta


Lebatnya hujan menyimbah-nyimbah. Aku hanya menjenguk dari tingkap melihat air di tadahan luar mencurah-curah keluar dari baldi. Sepi malam menggigit tangkai hati. Sejuk di luar tidak mampu meredakan hati ini.

Mana mungkin aku boleh tenang bila diri asik memikirkan kekasih hati di luar sana sedang berbahagia gembira bersama keluarga tersayang sedangkan aku terlontar sepi digigit api cemburu.

Salah aku sendiri mengheret diri dalam kancah dosa ini. Ya, sangat diburu rasa berdosa apabila mengheret diri dalam permasalahan ini. Tidak bermaksud menghuru harakan masjid insan lain tetapi semuanya berlaku sangat pantas. Tidak kami sangka tunas kasih sayang bercambah begitu pantas dalam perkenalan kami. Keserasian yang wujud antara kami buat hubungan cepat mesra.

"Ikin, kenapa ni?" kakak kehairanan melihat kegelisahan aku mengalahkan kucing nak beranak.
"Takda apa kak, ikin rasa tak sedap hati je" aku cuba berdalih. 
"Tak sedap hati ke atau ingat buah hati?" kakak tersengeh-sengeh sebelum keluar dari bilik. Ya...hatiku terbakar membayangkan kegembiraan Eddy bersama family sedangkan aku terlantar sepi di sini.
"Ikin...ambik ni baca." kakak datang semula menghulurkan al-quran milikku sambil memelukku erat. 

Sukar...sangat sukar untuk aku meredakan rasa cemburu ini. Mengapa harus cemburu sedangkan aku yang memilih jalan ini. Namun apakan daya aku juga manusia biasa yang tak lari dari kesilapan. Bermadu nampak indah lebih-lebih lagi aku isteri kedua namun ia amat sukar terutama bila Zila sendiri tidak tahu dirinya dimadukan.

Masih terlalu awal untuk Zila mengetahui kewujudan aku dalam kehidupan mereka. Biarlah mereka bahagia seperti sedia kala dan aku bahagia dengan layanan dan kasih suamiku. Perit menahan cemburu aku cuba lenyapkan. Sedaya upaya ku pujuk hati kerana ini adalah kemahuanku. Tak sanggup rasanya ingin memberitahu Zila bahawa dirinya telah dimadukan dengan aku yang jauh lebih tua dari dirinya. Bukan tandingannya, sudah tentu aku tak secantik Zila, tidak berkerjaya hebat sepertinya, tidak berkereta mewah dan bergaya sebahagia dirinya. Zila punya zara, abang dan segalanya sedangkan aku hanya mampu curi-curi bertemu dengan abang waktu malam atau waktu abang cuti.

Dalam duka ada bahagianya. Alhamdulillah dalam ketamakan diri mengejar bahagia aku melatih hati agar lebih menghormati perasaan insan lain. Aku sedaya upaya mendidik hati agar memahami diri suami tercinta yang sentiasa tersepit untuk memebuhi kehendak aku atau pun Zila. Walau rasa tersisih dengan ketiadaan suami, kehilangan Zara dari mataku namun aku bahagia kerana dapat menghadiahkan Zara buat suami tercinta. Ya...Zila tak tahu Zara adalah anak tirinya, anak suaminya bersamaku, darah daging suaminya. Namun apa yang aku cukup lega Zila melayan dan menyayangi Zara seperti anak kandungnya sendiri. Cuma sedikit pedih apabila hanya abang yang melayani makan pakai Zara. Zila hanya mendapat status ibu, sedangkan hanya abang sendirian mengasuh Zara. Zila jarang sekali membelai Zara, melayan keletah Zara dan mengasuhnya seperti yang aku harapkan.

Pedih...sangat pedih. Menumpang kasih suami insan lain bukan satu perkara mudah. Isteri kedua dicop perampas, namun sebenarnya bukan semua di antara kami benar-benar mengecapi kebahagiaan seperti yang diimpikan. Aku dambakan perhatian suami yang hanya bertemu secara curi-curi dari pengetahuan Zila. Aku kehilangan puteri kandungku Zara Humairah sebagai satu pengorbanan bagi perkongsian kasih ini. Kehilangan puteri tercinta bukan satu perkara  mudah untuk aku lalui. Melihat Zara tersenyum dalam pelukan Zila amat mengguris hati. Melihat ciuman Zara ke pipi Zila bisa merobek jantungku. Melihat abang dan Zila memimpin tangan kecil Zara saban petang di taman permainan cukup menghiris-hiris perasaanku. Perjalanan masih panjang...mungkin esok lusa giliran aku mengecapi bahagia itu. Mungkin juga Allah akan beri aku peluang mendidik dang mengasuh Zara dengan  tanganku sendiri. Cuma kecekalan dan kekuatan hati saja mampu untuk aku merealisasikan impian ku untuk hidup bersama Zara kembali. 

Andai keputusan ini mendapat tentangan dari abang aku rela mengundur diri. Biarlah abang bahagia bersama Zila asalkan aku mendapat kembali puteri comelku Zara. Tanda kasih dan cintaku pada suami yang amat ku sayangi. Buat abang...Ikin tak pernah menyesal melalui kehidupan kita kini, cuma apa yang Ikin kesalkan Zila tidak membelai Zara dengan kasih Ibu yang sempurna. Ikin mahukan Zara membesar dengan kasih sayang yang melimpah dari ibu dan ayahnya bukan melihat Zila menjadi ibu angkat yang lepas tangan seakan tahu Zara adalah anak tirinya sendiri. Perjalanan takdirku sebegini, mungkin ia berakhir dengan kisah tragis atau mungkin juga sinar bahagia menerjah kembali.